Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Tuesday, December 30, 2014

Peristiharan darurat

Seluruh negara sedang berduka kerana musibah yang sedang melanda.

Semua sedang berfokus pada banjir luar biasa yang belum tahu bila surutnya. Malah jikapun ada beberapa tempat sudah nampak surut namun hujan masih turun di sana sini dan air akan tepu di kuala seterusnya akan membuak semula ke hulu.

Dalam pada itu negeri-negeri lain seperti Melaka, Selangor, dan NS yang belum begitu ketara hujannya sebelum ini sudah mula berhujan lebat berhari-hari.

Daruratkah Malaysia? Apa maksud darurat?

"darurat boleh didefinisikan secara amnya sebagai keadaan yang memerlukan hukum-hakam keringanan terutamanya ketika terlalu lapar, terlampau dahaga, sedang berubat, menghidapi penyakit, di dalam keadaan terpaksa, kelupaan, kejahilan, kepayahan, keadaan yang tidak dapat dihindari atau umumul balwa, ketika bermusafir, sakit, kesempitan dan juga ketika berdepan dengan suatu keadaan yang luar biasa. Sekiranya hukum-hakam rukhsah (kelonggaran) ini tidak wujud dan penekanan hanyalah kepada hukum-hakam azimah, umat Islam pasti akan binasa ketika berdepan dengan suasana kecemasan atau darurat."

(Dr Daniel zainal abidin:  http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=23524)

Anda baca sendiri, fahamkan, dan rasakan sendiri adakah negara kita sekarang bersituasi darurat?

Jangan dipedulikan soal tuntutan insuran atau impak bank. 'Darurat adalah darurat' yakni suatu keadaan yang menyebabkan peraturan dan hukum biasa tidak lagi sesuai digunakan.

Demang berpendapat jika keadaan sekarang sudah sampai pada hukum darurat maka kerajaan perlu isytiharkan darurat sebelum rakyat sendiri yang melakukannya kerana dalam keadaan darurat, peraturan yang biasa dianggap sudah tidak ada.

Lagipun, berapa ramai rakyat yang memiliki polisi insuran seperti itu?

Sunday, December 28, 2014

Najib boleh tahan hujan

Dalam kelam kabut negara dilanda banjir besar, tersentak juga Demang menatap foto Perdana Menteri kita bermain golf dengan Presiden Amerika, di Hawaii katanya.

Maka ramailah yang kecewa termasuk sahabat- sahabat Demang yang sebelum ini mempertahankan Najib.

Bagi Demang, kalau Najib ada di tanahair pun, bolehkah ditahannya air? Kalau dia ada pun, berapa banyak rumah yang dia boleh tolong?

Sabar, jangan marah Demang. Demang gurau sahaja. Rumah ibu bapa Demang di Pahang pun tenggelam. Walaupun kami tidak lagi mendiami rumah itu namun hati dan perasaan Demang tetap melekat di sana.

Pertemuan dengan presiden Amerika bukan boleh dibuat sesuka hati. Temujanji bukan sehari dua dan kita bukannya ada banyak pilihan. Kena sedar diri lah.

Demang percaya PM tahu apa yang sedang berlaku dan apa yang sedang dilakukannya.

Pagi ini di Jengka dan kebanyakan tempat di pantai timur air sudah semakin surut.

Surut di hulu seperti biasa menjadikan kawasan hilir seperti Temerloh mula dilimpahi air. Moga orang Temerloh sabar menghadapinya.

Surut juga bermaksud kerja-kerja pembersihan akan bermula. Barangkali ia akan lebih memenatkan. Ketika air naik proses perpindahan dilakukan secara pantas dan tidak serentak namun selepas banjir semua orang ada rumah sendiri untuk dibersihkan.

Justeru bantuan daripada saudara-saudara yang kawasan mereka belum dinaiki air amat diperlukan. Kalau musim PRK kita boleh serbu ke kawasan PRK beramai-beramai sehingga menyemakkan ruang dan kepala penduduk tempatan, takkan lah di waktu begini kita nak mengelat?

Tambah-tambah yang senyum sinis ketika melihat foto Najib bermain golf. Buktikan anda memang seorang yang baik dan bukan hanya tahu mengkritik.

Monday, December 22, 2014

Kenduri muzik

Semalam Demang menemani isteri menghadiri majlis perkahwinan di rumah bekas rakan sekelas beliau.

Seronoknya dalam majlis begitu ialah dapat bertemu rakan-rakan lama. Banyaklah kesah nak disembangkan.

Namun sudah jadi adat orang Melayu berkenduri sejak dahulu kala, tuan rumah akan pasang lagu kuat-kuat. Agaknya kalau tak kuat, tak sempurna kenduri.

Demang faham bahawa tuan rumah ingin memeriahkan majlis di samping menghebahkan pada orang ramai tetapi Demang rasa bunyi muzik yang membingitkan telinga begitu bukanlah satu-satunya cara membuat hebahan.

Tidak salah bermuzik tetapi biarlah harmoni pada telinga hadirin dan tidak sampai mengganggu. Bukankah lebih baik dialunkan muzik lembut sebagai halwa telinga. Demang cadangkan muzik instrumental.

Untuk menambah kemeriahan, jemputlah pasukan kompang atau qasidah yang membuat persembahan dalam tempoh tertentu. Kompang tak seperti corong muzik yang dipasang terus menerus sepanjang majlis berlangsung.

Atau mungkinkah tuan rumah sengaja buat begitu supaya jemputan tidak bersembang dan lekas-lekas beredar?

Kalau demikian maka hilanglah satu hikmah berkenduri iaitu bagi merapatkan silaturrohim.

Bersambung

Sunday, December 21, 2014

10 minit terakhir

Demang jarang menonton bolasepak kecuali perlawanan penting seperti semalam.

Sebagaimana yang semua maklum pasukan Malaysia tewas di tangan Thailand sekali lagi.

Ramai yang berpendapat kita sepatutnya menang. Kata anakanda Demang, Thailand mempunyai rekod cemerlang pada 10 minit terakhir dalam banyak perlawanan.

Apa pentingnya 10 minit berbanding 90 minit masa yang diperuntukkan? Jika ada yang beranggapan bahawa Thailand sengaja menunggu 10 minit terakhir untuk bertindak Demang rasa idea itu mungkin silap.

Apa yang berlaku ialah Thailand telah mencuba sedaya upaya sejak awal namun Malaysia lebih pantas mendapatkan jaringan gol.

Malangnya pemain Malaysia gagal memahami hakikat perlawanan. Dalam perlawanan bola sepak kemenangan ditentukan melalui jaringan gol dalam masa yang ditentukan.

Dengan kata lain jika jaringan dibuat selepas tempoh masa tersebut maka ia tidak lagi dikira.

Kenapa pemain Malaysia gagal menggunakan kesempatan sebagai pendahulu jaringan? Bukan lama pun, cuma 10 minit.

Demang rasa kemahiran bermain mana- mana pasukan sama sahaja. Yang akan menentukan kemenangan ialah kemampuan untuk menguasai permainan. Pandai bermain dengan pandai menguasai permainan itu berbeza.

Menguasai permainan ertinya kita mampu mencorakkan permainan. Kita menguasai seluruh permainan dan membawa pihak lawan bermain dalam rentak kita.

Apabila kita sudah mendahului jaringan maka fokus kita hendaklah beralih pada faktor masa perlawanan pula.

Demang sedar pertahanan terbaik ialah dengan menyerang namun dengan memperbanyakkan serangan akan menjadikan perlawanan semakin rancak dan menaikkan semangat pihak lawan.

Kenapa pasukan Malaysia tidak cuba menjadikan baki masa yang ada itu suatu tempoh yang membosankan? Biarkan pemain lawan geram dan meradang. Dengan itu mereka akan buat lebih banyak kesilapan.

Demang rasa ramai yang tahu strategi ini. Taktik lama, kata orang. Apa hinanya taktik lama kalau ia berkesan? Ini bukan perlawanan pertunjukan. Ini pertandingan menang-kalah.

Pertanyaan Demang ialah, jika taktik memufliskan semangat pemain lawan itu bagus, kenapa tidak diberi tumpuan semasa latihan?

Saturday, December 20, 2014

Di sebalik nama hasan laga

Malam tadi Demang terserempak sebuah drama di tv yang agak menarik. 

Mulanya Demang tertarik kerana ia menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan dan Eman Manan. Malah Rosham Nor pun ada.

Seorang lagi pelakon yang Demang suka tidak pula Demang tahu namanya. Wan... berambut putih, orang terengganu rasanya.

Beliau memegang watak utama, Hasan Laga iaitu seorang lelaki tua tetapi beristeri muda yang mempunyai sejumlah pengikut yang sangat menghormati beliau.

Pada pandangan awal Demang, Hasan Laga adalah tipa (type) lelaki 'gedebe'. Istilah gedebe sering disalah-erti sebagai samseng kampung. Padahal gedebe adalah istilah orang Kelantan untuk seseorang yang disegani di sesuatu kawasan.

Agak lama tidak menonton Nasir berlakon jahat. Nasir membawa watak orang kaya yang angkuh namun mempunyai pengikut sendiri.

Sekali imbas kita sudah tahu Nasir bukan orang baik-baik. Dia memikat dan mengikat penyokong melalui wang.

Drama tersebut berlatarkan sebuah kampung yang penduduk lelakinya amat suka berlaga ayam. Itulah barangkali sebab Hasan di gelar Hasan Laga.

Apabila seluruh kampung amat gemar dengan 'sukan' laga ayam maka kita faham betapa gelaran Hasan Laga menunjukkan Hasan memang sangat terkenal, sekurang-kurangnya di kawasan itu.

Peri taksubnya pada ayam laga sehingga Hasan Laga menyahut cabaran musuhnya (Nasir Bilal Khan - NBK) dengan pertaruhan: jika ayam Hasan Laga tewas maka dia hendaklah keluar dari kampung seluar sepinggang dan menyerahkan isterinya yang muda itu kepada pihak yang menang.

Mujur pihak Hasan Laga menang dan NBK hilang RM50 ribu serta terpaksa meninggalkan kampung.

Tiadanya NBK (Demang lupa nama wataknya) tidak bermakna kampung itu kembali aman sebaliknya perpecahan sesama sendiri kalangan ahli kumpulan Hasan Laga mula timbul.

Kejutan pada drama ini ialah gelaran LAGA pada Hasan Laga bukan semata-mata kerana beliau gemar berlaga ayam bagi memenangi pertaruhan malah Hasan Laga juga sanggup melaga-lagakan pengikutnya sendiri demi memenuhi keinginan peribadi.

Demang bukan hendak menulis sinopsis drama di sini. Justeru Demang terus kepada mesej yang ingin disampaikan.

Pertama, jangan terlalu taksub pada pemimpin dan hendaklah menyimpan rasa sangsi apabila pemimpin melakukan kemungkaran atau melanggar hukum.

Sejak awal drama tersebut menampilkan Hasan Laga seorang yang baik dan berkarisma manakala musuhnya NBK ketua samseng.

Di situ pandangan audien dikaburi hingga melupakan fakta paling penting iaitu pertandingan laga ayam adalah satu perjudian dan tindakan menganiaya haiwan adalah perlakuan tidak bermoral.

Baik Hasan Laga mahupun Nasir Bilal Khan, kedua-dua mereka memang tidak layak dicontohi apalagi dijadikan pemimpin.

Dalam kehidupan ini pun begitu. Apabila seseorang yang ingin menjadi pemimpin, apatah lagi 'tok guru' melakukan sesuatu yang jelas bercanggah dengan hukum yang asas, maka hindarilah ia segera.

Demang ucapkan tahniah pada pengarah, penulis skrip, dan pelakon atas penghasilan drama hebat tersebut.

Ada sesuatu yang perlu kita fahami yang tersirat pada karya ini.

Monday, December 15, 2014

Media sosial baru buatan malaysia

....sambungan.

Sebelum ini Demang sebut betapa jaringan media sosial bukan lagi sebagai jejaring lelabah bahkan sudah seperti gumpalan kapas yang tidak mudah dilerai.

Jika demikian, tindakan yang lebih praktikal dilakukan bukannya menghuraikannya sebaliknya merubah ia menjadi produk baru agar boleh dimanafaatkan.

Demang tahu kita sudah ada kementerian telekomunikasi namun isu ini bukan semata-mata masalah teknologi. Ia adalah peningkatan interaksi dan komunikasi yang menggerakkan sektor-sektor penting dalam masyarakat.

Jika anda kata media sosial hanya alat, ia memang benar namun perlu ditambah sedikit, 'alat yang agresif'.

Agresif atau radikal adalah sifat tidak normal bagi manusia. Analoginya ialah kenderaan yang sedang bergerak pada kelajuan 110km sejam adalah normal namun apabila pemandunya tiba-tiba menekan pedal brek dengan pantas sambil menukar haluan maka ia akan menghasilkan dentuman, samada kereta itu akan terguling atau terbabas, atau akan dihentak oleh kenderaan lain dari belakang.

Demikian juga kemunculan media sosial seperti Whatsapp dan Facebook. Samada diketahui atau tidak, samada sudah berlaku atau belum ia pasti akan terjadi kerana fitrahnya begitu.

Maka kita tidak mungkin dapat menahannya sebaliknya ia perlu diarah ke haluan yang betul serta diberi panduan. Kalau boleh, kawalan yang tidak secara langsung.

Sememangnya usaha ke arah itu memang sedang dilakukan namun adakah ia berpusat?

Jika kapas boleh kita jadikan benang  untuk dibuat pakaian maka kehadiran media sosial juga boleh kita jadikan sesuatu yang lebih berfaedah.

Kenapa kerajaan Malaysia tidak bina aplikasi kita sendiri untuk itu?

Sunday, December 14, 2014

Deria ke-7

Sambungan....

Sebelum ini komunikasi sesama manusia banyak melibatkan mulut dan suara namun kini jari dan sentuhan mengambil tempat.

Begitu juga jika dulu telinga yang menjadi penerima isyarat komunikasi, kini mata pula mengambil tempat iaitu ketika membaca teks.

Mahu tidak mahu kita perlu terima hakikat betapa media sosial adalah medan pertemuan paling penting pada zaman ini. Grup-grup diskusi bukan lagi dikatakan 'tumbuh macam cendawan' malah apa sahaja yang merebak dengan pantas boleh dikatakan 'seperti grup sosial di tahun 2014'.

Barangkali juga ungkapan yang lebih tepat bukannya 'serangan media sosial seperti tsunami' sebaliknya 'serangan tsumani seperti media sosial'!

Seperti yang Demang nukil sebelum ini, setiap orang memiliki lebih daripada lima grup media sosial yang menjadikan otak manusia bersambung-sambung sesama sendiri dan berpaut (link) pula dengan kelompok lain. Barangkali ia bukan lagi berbentuk jaringan lelabah bahkan boleh menjadi gumpalan kapas yang tidak mudah dirungkai.

Manusia sudah mula menyatu dalam menyimpan maklumat dan akhirnya sebagaimana kita menyimpan data di  pusat pengumpulan data maka begitu jugalah minda manusia. Akhirnya nanti manusia tidak lagi menyimpan maklumat di dalam otak masing-masing (internal) sebaliknya semua maklumat disimpan pada kotak memori secara maya (external) dan boleh dicapai sebaik sahaja diperlukan.

Sebagaimana ruang maya yang kita tahu tiada penguasa yang berhak mengaku menjadi pengawal maka begitu jugalah nantinya masyarakat manusia. Mereka membentuk koloni sendiri yang hanya beriman pada berita dan cerita, bukan lagi kebenaran sebenar.

Rakyat tidak lagi membaca atau mendengar berita bahkan berita tiba sepanjang masa terus ke minda melalui tapak tangan sebagaimana haba yang menjamah kulit serta merta diproses otak dan difahami sebagai 'panas'.

Nampaknya semua orang sudah ada deria ke tujuh!

Ia sedang berlaku tanpa dapat diempang lagi.

Bersambung...

Saturday, December 13, 2014

10 kumpulan berjalan serentak

Demang bersekolah menengah di Temerloh selama 4 tahun. Di situ Demang berkawan dengan rakan sepersekolahan dan seasrama dan hanya bertemu teman sekampung apabila bercuti.

Kemudian Demang berpindah ke sekolah di Jengka selama dua tahun. Maka Demang boleh dikatakan terputus terus hubungan dengan teman-teman Temerluh itu.

Selepas SPM Demang ke Kuantan  bagi memasuki tingkatan 6 dan tamatlah hubungan dengan rakan-rakan di sekolah Jengka, apatah lagi teman Temerluh. Bergaul lah Demang dengan teman-teman seperjuangan di Kuantan pula.

Selepas STPM Demang memasuki maktab perguruan di KL. Di situ Demang bertemu teman-teman baru. Masa itu zaman rock kapak melanda negara.

Selepas tamat pengajian Demang bertugas di beberapa buah sekolah di Pahang dan Melaka. Sudah tentu Demang mendapat rakan-rakan baru pula.

Jika dikumpul, Demang ada sekurang-kurangnya 10 kumpulan rakan dan bayangkan apabila kesemua kumpulan tersebut mempunyai grup Whatsapp!

Itu belum termasuk kelompok teman sekampung, saudara mara sendiri, sebelah isteri, rakan sekerja, dan sebagainya.

Jika dulu Demang hanya bertumpu pada satu kumpulan rakan dalam satu masa kini Demang beramah mesra dengan 10 kelompok rakan dalam satu masa!

Ini bermakna aktiviti pergaulan yang sepatutnya berlaku dalam tempoh lebih 30 tahun secara berasingan dimampatkan dalam satu masa dan berlaku serentak.

Jika 1989-83 Demang bergurau senda dengan teman asrama di Temerluh, 1984-85 berkawan dengan teman- teman Jengka, 1986-87 lepak di kompleks Teruntum Kuantan bersama teman sekelas, 1988-90 berbual dengan teman semaktab selepas jemming di kompleks Wilayah KL; maka pada 2014 Demang lakukan semua itu serentak menggunakan telefon pintar!

Apa persamaan lepak 1980an secara bersemuka dengan chatting dalam grup sosial 2014? Apa pula perbezaannya?

Demang rasa, bukan Demang seorang yang begitu. Jika demikian, apa impaknya pada negara?

Bersambung...


Sunday, December 7, 2014

Gerakan Islam di Malaysia

Pagi ini Demang berada di SM Imtiaz ulul albab Melaka sempena temuduga pelajar baru untuk tingkatan 1, 2015 . Demang hadir kerana diminta meninjau pandangan serta pendapat ibu bapa calon pelajar 2015 di sebalik niat dan hasrat mereka menghantar anak ke sini.

Demang bukan nak bercerita tentang sekolah yang berkonsep ulul albab ini (tahfiz) ataupun pemiliknya iaitu Zahid Hamidi sebaliknya tentang hasil temubual secara formal Demang dengan beberapa ibu bapa.

80% daripada ibu bapa yang Demang temui mempunyai anak lain di sekolah tahfiz di tempat lain. Ada juga calon daripada pelajar sekolah agama swasta semasa di sekolah rendah.

Semua ibu bapa atau 'salah seorang' daripada mereka adalah profesional dan selebihnya usahawan berjaya.

Sementara itu pagi ini juga Demang sepatutnya hadir mesyuarat penubuhan alumni sekolah menengah agama di Temerloh. Melalui pertubuhan tersebut sahabat-sahabat lama Demang itu akan menyalurkan bantuan dan sokongan pada pihak sekolah bagi meningkatkan kualiti lepasan sekolah tersebut.

Demang bawa kedua-dua perkara di atas kali ini adalah bagi mengingatkan semula pemimpin sekarang atau bakal pemimpin tentang realiti yang sedang berlaku di negara kita.

Alunannya telah bermula lama dengan gelombang-gelombang kecil yang mengusik bibir pantai. Demang percaya riak-riak tersebut sedang menyatu dan bergerak semakin pantas. Yang kita tidak tahu ialah bilakah ombak tersebut akan menjelma menjadi tsunami.

Demang tidak tahu berapa banyak sekolah agama dan maahad tahfiz di seluruh negeri Melaka dan di seluruh negara. Yang nyata, memang sangat banyak dan ia sentiasa bertambah.

Pertambahan bukan sahaja berlaku pada kuantiti pelajar daripada sekolah-sekolah sedia ada bahkan maahad-maahad baru muncul macam cendawan tumbuh. Maklumlah, ramai pelajar yang mengubah diri mereka menjadi pengajar, daripada anak murid menjadi tuan guru.

Jika kita lihat pula di luar, telah ramai individu profesional dan ikon masyarakat yang bukan sahaja berlatar belakang pendidikan agama malah bergelar alhafiz. Antaranya Dr Zainal USM seorang doktor gigi (kalau Demang tidak silap) dan Dr Muhaiya yang amat terkenal itu adalah pakar mata.

Mereka ini bukan sahaja sedang memberi kefahaman pada masyarakat terhadap Islam bahkan mereka sedang membina masyarakat baru yang mengharapkan Islam menjadi teras dalam segala aspek kehidupan.

Justeru Demang ingatkan para pemimpin terutama yang berada dalam UMNO bahawa jika anda gagal berada bersama gerakan Islam maka bersedialah untuk keluar daripada arus perdana. Dengan kata lain, anda sudah tidak diperlukan lagi.

Kepada pemimpin PAS, kalian boleh terus berjuang selagi tidak meletakkan kemenangan kerusi sebagai tujuan utama atau berangan-angan untuk menubuhkan kerajaan sendirian.

Kepada Perdana Menteri, anda boleh terus kekal di situ selagi anda faham realiti ini dan bergerak bersamanya. Untuk itu, semak semula siapa di sekeliling anda kini dan bantu mereka yang tidak berkenaan itu mencari kerja lain.

Itupun jika anda masih ingin menjadi Perdana Menteri.

Thursday, December 4, 2014

Kesah pekerja bangla najib

Sedang Demang bicara soal pertanian, muncul pula isu PM akan bawa masuk 60,000 warga Bangladesh.

Nampaknya ia akan jadi isu baru dan akan direkod untuk di-isu-kan semula menjelang PRU akan datang. Apa lagi kalau bukan untuk dijadikan bahan isu pengundi hantu?

Bagi Demang jika kemasukan pekerja tersebut bagi memenuhi keperluan sektor perladangan, apa salahnya? Melainkan jika kita ada pilihan lain.

Tolong bagitahu Demang, mahukah anak-anak anda menjadi buruh ladang? Menjadi pekerja ladang tentulah tidak sama dengan menjadi peladang!

Kelmarin Demang tulis betapa kita terlalu bergantung pada import buah-buahan dan hasil pertanian. Penyelesaiannya mudah. Tanam sendiri. Buka ladang. Masalahnya, siapa yang nak buat kerja tersebut?

Memang kegusaran sesetengah pihak ada asasnya. Kebanjiran pendatang asing akan memunculkan masalah baru pula, namun apa pilihan kita? Jika anda ada idea lain, silakan. Mana tahu idea tersebut lebih baik.

Negara kita subur. Itu kata guru geografi Demang dulu. Masa Demang sekolah dulu (1970an), kami buat projek buku hijau keliling sekolah. Petang-petang datang sekolah bawa cangkul buat batas ubi, mentimun, kacang bendi, dan lain-lain. Pagi-pagi siram pokok sebelum masuk kelas.

Namun hasilnya tidaklah begitu baik dan akhirnya projek buku hijau tutup buku. 

Memanglah tujuan asalnya untuk.mendidik dan menyemai minat berkebun. Namun jika tidak menjadi maka ia jadi pengalaman yang tidak ingin diulangi. Oleh kerana ia kempen besar-besaran di seluruh negara maka orang Melayu fobia hingga sekarang dan tidak suka bertani.

Bukan sahaja di sekolah, kalangan peneroka Felda pun begitu juga. Demang ingat lagi pada peringkat awal riuh rendah para peneroka bertanam sayur mayur keliling rumah. Selain untuk makan sendiri harap-harap dapat dijual untuk duit sampingan.

Namun jika semua orang sudah bertanam, siapa pula yang akan membeli? Lagipun sekitar 1970an di kawasan Felda, orang bukan ada duit sangat.

Akhirnya selepas semusim, yang tinggal hanya batas dan tunggul. Tidak lama kemudian, cangkul pun sudah sukar ditemui.

Demang bercerita tentang tanah rancangan felda sekitar 1980an yakni tempat yang sepatutnya jadi sumber pertanian. Kita kena akui bahawa kita tidak cukup tenaga untuk itu.

Pergantungan sumber makanan daripada negara luar memang merugikan dan boleh membahayakan negara. Selain pengaliran wang keluar, ia juga suatu pembaziran terhadap sumber yang Allah Taala kurniakan.

Minggu ini RINGGIT MALAYSIA merudum lagi dan ada yang kata ia lebih buruk berbanding 1997. 

Demang percaya kita tidak akan terjejas apa-apa jika kita ada bahan makanan (pertanian) yang mencukupi. Malah jika stok kita berlebihan, kita boleh tarik duit luar masuk ke negara kita.

Tapi janganlah jual kangkung untuk beli ferrari.

Wednesday, December 3, 2014

Ringgit merudum lagi

Ringgit merudum lagi. Malah katanya lebih teruk daripada 1997.

Ini mesej yang Demang terima sebentar tadi. Mungkin anda pun dah dapat lebih awal.

"Ringgit posted its biggest two day fall since the 1997 Asian financial crisis.  Now at rm3.4320 . Rumour said that it will touch rm3.7000."

Kemelut 1999 berlaku di zaman Tun Mahathir. Ketika itu juga Anwar Ibrahim sempat pangku jawatan PM dan menteri kewangan. Anwar ambik formula mudah. Tak ada duit, pinjam sahaja lah. Tun tidak bersetuju.

Negara jadi kelam kabut dan akhirnya Tun dipaksa letak jawatan. Abdullah Hj Ahmad Badawi dilantik menggantikan Tun. Anwar 'masuk.ke dalam'.

Antara perkara yang dibuat oleh Paklah ialah menggalakkan sektor pertanian sebab sehebat manapun manusia ia tetap perlukan makanan. Setakat ini kita belum tergamak makan plastik.

Kejatuhan teruk Ringgit menyebabkan harga barang import naik secara automatik. Rupa-rupanya kebanyakan makanan kita ditanam di negara asing. Hebatnya kita.

Agensi berkaitan pertanian dikerah melaksanakan program pertanian. Masa itu jika anda ke pejabat pertanian anda mungkin akan hanya menemui tukang sapu sahaja di pejabat. Semua pegawai dikerah turun padang dan bukan setakat menanti petani datang mengadu.

Paklah ambil gambar sedang berdiri dalam bendang. Foto itu segera menjadi bahan lawak orang ramai. Pembangkang ambik kesempatan memanipulasi foto tersebut dan Paklah jadi macam badut. Rakyat dapat peluang untuk ketawa berdekah-dekah. Maklumlah, masa tu belum ada maharaja lawak.

Akhirnya seperti biasa projek tersebut lunyai begitu sahaja. Agaknya pegawai pertanian pun lega sebab boleh kembali beristirehat di pejabat berhawa dingin.

Pihak yang agak kecewa ialah orang tengah dan kroni yang terlepas peluang menyapu komisyen dengan modal air liur.

Dalam pada itu Paklah turut kena tempias menantu cerdiknya. Mula-mula tempias, lama-lama habis basah lencun dan akhirnya Paklah karam sendirian. Menantu KJnya kini jadi menteri. Ye lah, orang cerdik. Usahkan mertua, negara pun boleh dijualnya.

Rakyat Malaysia memang alergik dengan pertanian. Najib pun sudah faham. Isu kangkung amat menginsafkan Najib supaya jangan berani-berani menyuruh orang Melayu bercucuk tanam. Peri jijiknya orang Melayu pada pertanian hinggakan profesor yang tidak disukai akan digelar 'profesor kangkung'.

Orang Melayu suka makan epal. Pisang hanya untuk monyet manakala jagung adalah makanan ayam. Pergilah ke pasaraya, berlambak-lambak buah import dijual. Permintaaan tidak pernah surut.

Walaupun makanan utama orang Melayu ialah nasi namun hampir semua makanan lain berasaskan gandum.

Apa pilihan kita sekarang? InsyaAllah esok Demang tulis lagi. Maaflah, Demang sukar respon komen anda di sini sebab android yang Demang guna menyukarkan Demang menulis di ruang komen namun Demang amat hargai pandangan anda.

Monday, December 1, 2014

Blogger bengang vs belogger bangang

Kalau dulu ada istilah polong bertuan dan polong tak bertuan, kemudian muncul  pula blog goblok dan terkini blogger bangang.

Blog Waadat masuk kategori mana?

Menariknya kali ini ialah apabila orang  yang mencetuskan istilah tersebut ialah seorang presiden. Beliau bukan sebarang presiden kerana yang dipresidenkan ialah sebuah parti tertua di negara kita dan mengetuai kerajaan Malaysia tanpa pernah terputus sejak 1957 walaupun sudah beberapa kali kelihatan seperti hampir putus nyawa.

Negara kita pula bukan sebarang negara. Ia tertubuh di atas tanah yang dulunya pernah tertegak sebuah empayar bernama Melaka.

Melaka pula bukanlah empayar biasa. Ia  pernah diberi amanah meneruskan peranan empayar Islam selepas bani Uthmaniah berakhir di Sepanyol.

Tidak banggakah kita menghuni di rumah pusaka yang hebat?

Berbalik pada isu blogger bangang. Ia terbit bersama ayat "kerja dengan siapa?" Kemudian ditokok tambah sesedap rasa oleh pecacai-pecacai parti sesuai dengan parti yang dianutnya. Kalau UMNO, UMNO lah. Kalau PAS, PAS lah. Begitu juga jika pecacai itu PKR dan lebih-lebih lagi askar upahan DAP, maka dimanipulasikan lah sesuka hati.

Ayat "kerja dengan siapa?" itupun Demang tidak dengar sendiri dari mulut sang presiden. Demang tidak hadir PAU sebab Demang tidak rasa perlu hadir. Lagipun Demang bukan ahli UMNO, jauh sekali perwakilan atau pembahas usul presiden ataupun johan pidato UMNO seperti sahabat Demang saudara Mustafa Musa.

Tahniah kepada wakil UMNO Melaka itu. Demang percaya beliau bukan setakat hebat di gelanggang pidato malah istiqomah dalam perjuangan bangsa.

Demang rasa yang dimaksudkan presiden ialah blogger yang dibayar oleh UMNO untuk mempertahankan UMNO di media maya sebaliknya bertindak menembak UMNO. Jika demikian, Demang tidak terlibatlah.

Takkanlah sesekali 'terjemput' ke jamuan raya dan kadang-kadang sempat bersalam dengan presiden UMNO dah dikira pekerja UMNO?

Jikapun pernah mendapat cabutan bertuah dan diberi duit tambang 2-3 tahun sekali ketika hadir program penerangan isu semasa sudah dianggap blogger berbayar?

Sebenarnya penulis blog sama seperti pengunjung warung kopi. Asalnya datang ke warung sekadar untuk hilangkan haus atau teringin merasa minum di luar.

Bukanlah mengeteh namanya kalau setakat order, teguk sampai habis dan terus balik. Biasanya akan berbasa-basi  dan bertanya khabar dengan teman-teman. Dari situ melarat lah pada topik-topik lain, isu semasa hinggalah pada ekonomi dunia dan masalah hukum serta fatwa. Hal seluar dalam orang pun kadang-kadang jadi topik hangat juga.

Blogger ibarat pengunjung tetap warung yang rajin bercerita. Tidak ada siapa yang menyuruh dia bercerita. Namun jika dia pandai berceloteh maka secara tidak langsung dia telah membina kelompok audiens yang sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan ceritanya.

Pengaruh inilah yang dibimbangi orang politik. Blogger yang berpengaruh mampu menukar persepsi orang ramai. Cerita warung tidak terhenti di situ sahaja. Ia dibawa balik ke rumah untuk dikongsi dengan isteri dan dari situ merebak dari dapur ke dapur sehingga satu kampung mengetahuinya.

Mulut pemberita tak bergaji di warung-warung tidak boleh dikawal. Kalau setakat belanja secawan kopi dan berharap mereka akan setuju dengan kerajaan selama-lamanya, jangan haraplah.

Namun mereka juga manusia biasa. Kalau pandai mengambil hati, lunak lah sikit bicaranya.

Ucapan presiden UMNO kelmarin menggambarkan seolah UMNO mempunyai pasukan blogger yang bekerja dengan UMNO. Jika betul begitu, apa salahnya? Itu hal 'keluarga mereka' (ada orang kata 'syarikat mereka').

Kesimpulannya di sini, blogger pada asalnya adalah penulis bebas namun ada juga yang memang kerjanya menulis blog.

Demang pernah menulis panjang lebar isu blogger dan keprihatinan UMNO terhadap blogger prokerajaan sebelum ini namun ada pula yang menuduh Demang dan sahabat-sahabat minta bayaran.

Demang tegaskan sekali lagi:

Pertama, kami bukan minta bayaran tetapi minta supaya UMNO lebih cerdik memilih blogger yang sepatutnya hendak dibayar, itupun jika UMNO rasa aktivis media sosial itu penting. Jika tidak, teruskan sahaja cara UMNO zaman dinosour itu.

Kedua, oleh kerana kami generasi awal blogger adalah penulis bebas yang menyara anak bini melalui cara lain (yakni bukan dengan mengambil upah menulis blog), maka jangan terlalu berharap yang kami akan menulis yang baik-baik sahaja berkenaan kerajaan.

Demang rasa dua perkara di atas memang sukar dipersetujui oleh UMNO maka biarlah kita kembali cara asal.

Cara asal? Ertinya blogger bebas akan tulis ikut suka blogger. Kalau nak gelar 'blogger bangang', goblog atau sebagainya tolong khususkan pada orang atau kumpuan blogger tertentu.

Ingat, audien blogger ialah rakyat biasa dan jika orang tidak suka singgah ke blog tersebut maka apalah ertinya lagi menjadi blogger dan pembiaya blogger  pun tidak dapat apa-apa manafaat.

Friday, November 28, 2014

Guru Besar hilang

Ini berita betul. Sudah disahkan pihak sekolah yang terlibat. Guru Besar dan kesemua GPK tiada di sekolah selepas keputusan UPSR (yang kertasnya bocor-bocor itu) keluar.

Kemana hilangnya pun Demang tidak pula diberitahu.

Sebenarnya ia bukanlah masalah Demang melainkan jika anak Demang ada di sekolah tersebut dan perlukan tandangan 'beliau-beliau' tersebut untuk mengesahkan salinan dokumen bagi memohon sekolah menengah.

Takkan lah nak suruh tukang kebun sekolah tandatangan!

Demang boleh mengerti jika mereka ada urusan kecemasan atau urusan peribadi yang tidak boleh dielakkan (empat orang cuti serentak!) namun Demang sangsi jika mereka diarahkan untuk hadir mesyuarat di jabatan atau diminta berkursus.

Dah tak ada masa lain ke nak buat kursus atau mesyuarat? Padahal ibubapa perlu menguruskan permohonan dengan kadar segera. Salah satu syarat permohonan ialah semua dokumen wajib disahkan.

Itupun satu hal juga. Dalam dunia digital tanpa sempadan serta serba canggih ini pihak-pihak yang berkenaan masih terperuk dalam tempurung. Mereka tidak tahu bagaimana nak memudahkan orang ramai. Mereka hanya pandai memudahkan kerja sendiri sahaja.

Piagam pelanggan? Ha ha ha... kebanyakannya bukan faham sangat walaupun ada yang pernah beri taklimat pada orang lain tentang perkara tersebut.

Sebenarnya bukan susah sangat nak sahkan salinan dokumen. Cop getah itu bukanlah mahal sangat. Maknanya, itu bukanlah kaedah yang bagus sangat untuk mengelakkan penipuan.

Kenapa tiada pemusatan data? Bukankah dengan kecanggihan sekarang, dengan satu masukan nombor kad pengenalan sahaja sepatutnya semua maklumat boleh disemak dan disahkan? Apa gunanya calon peperiksaan diminta memasukkan nombor surat beranak dan sebagainya dulu? Supaya nampak profesional?

TAPI... dalam bab duit dan hutang, pandai pulak pihak tertentu mengesan orang yang bermasalah hingga ke lubang cacing!!!

Oh negaraku.

Thursday, November 20, 2014

Bank kapitalis mengawal negara

Adakah Malaysia mengamalkan perbankan Islam? Kalau dibaca jenama berunsur arab yang dipamerkan pada iklan, nampak benar Islamnya. Sepaling tidakpun ia menggunakan bahasa Arab. Islamik.

Adakah dengan menggunakan istilah bahasa Arab, memasukkan upacara akad, tetapi dalam masa yang sama memaksakan perjanjian berat sebelah itu sudah menepati kehendak Islam?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, Demang nak kemukakan satu peribahasa baru:

Jika tiada orang sesak, makin bank-lah yang sesak manakala jika ramai orang sesak maka bank-pun penuh sesak.

Demang rasa tidak sukar memahaminya cuma anda perlu kenalpasti dan bezakan maksud-maksud istilah 'sesak' yang digunakan.

Asal ceritanya begini:
Kebanyakan khutbah di Melaka pada Jumaat lalu membentangkan perkara RIBA dan dengan tegas mengatakan bahawa RIBA itu haram, samada memberi mahupun menerima.

Nampaknya apabila negara kita mengekalkan sistem RIBA rakyat biasa menghadapi dua kerugian iaitu di dunia dan akhirat. Pihak bank cuma rugi di akhirat sahaja manakala di dunia mereka boleh bina bangunan-bangunan mega dan kaut untung berjuta-juta.

Sekurang-kurangnya mereka masih ada peluang untuk bertaubat. Sempat atau tidak, itu perkara kedua. Kita? Sebagaimana yang Demang tulis tadi, rakyat rugi dua kali!

Di hujung khutbah, khatib menutup bacaan teks dengan syor supaya menggunakan sistem perbankan Islam. Masalahnya, adakah perbankan Islam kita benar-benar Islam? Atau sekadar mempunyai nama dalam bahasa Arab?

Demang petik kata-kata Tun Dr Mahathir, jika ia Islam maka semestinya ia mendatangkan kebaikan justeru jika tidak mendatangkan kebaikan maka ia bukan sistem Islam yang sebenar. Maka ia perlu dikaji semula dan diubah.

Demang pernah menghadapi keaadaan 'sesak' dan cuba mendapatkan bantuan beberapa bank termasuk yang memakai nama Islam. Malangnya mereka tiada sebarang kaedah untuk membantu orang Islam yang menghadapi masalah kewangan. Mereka hanya ada plan untuk kaut untung.

Semakin ramai rakyat yang sesak, semakin penuh sesaklah bank.

Demang rasa bank-bank 'mualap' tersebut masih mengamalkan adat istiadat agama asal mereka walaupun mengaku telah memeluk agama Islam. Cubalah anda pergi ke bank yang mendakwa menggunakan sistem Islam dan cuba mohon pinjaman perumahan. Adakah anda akan membayar lebih rendah daripada sistem kapitalis Yahudi?

Demang tidak tahu. Anda cubalah periksa di bank-bank berkenaan.

Biasanya mereka tidak akan guna istilah riba atau bunga. Mereka ada istilah lain dalam bahasa Arab. Pelanggan yang mendengar akan terlopong kerana terpesona dengan bunyi Arab itu dan akhirnya terus melopong hingga ke liang lahad.


Terima kasih kerana beri attach poster.

Tuesday, November 18, 2014

Hapuskan sahaja tanah rizab melayu

Agaknya ramai yang tersentap dengan tajuk di atas. Takpe. Demang ulang sekali lagi, hapuskan sahaja tanah rizab Melayu.

Sebelum Demang jelaskan, mari kita lihat perkembangan semasa. Ada dua program besar UMNO dalam seminggu dua ini.

Pertama, 25 Nov 2014 akan berlangsung final pidato UMNO di PWTC. Kedua, persidangan UMNO, tapi Demang tak tahu tarikhnya. Agaknya bersekalilah tu.

Demang ucapkan tahniah pada 12 orang pemidato finalis yang disaring daripada hampir 200 orang. Kalian memang hebat. Namun kehebatan itu tidak ada maknanya jika setakat berjaya menggegarkan dinding dewan atau melencunkan muncung mikrofon sahaja.

Sebelum berpidato atau berucap sebagai perwakilan Demang rasa elok juga para pemidato merayau-rayau sekali lagi ke taman-taman perumahan kos rendah, sederhana, dan mewah. Lihatlah kaum atau bangsa mana yang ramai di pertempatan tersebut?


Berapa kerat orang Melayu mampu beli?

Kalau ikut tradisi, antara isu yang UMNO akan ketengahkan dalam setiap persidangan ialah isu tanah rizab Melayu. Bagi Demang kalau setakat pertahankan tanah rizab yang tak bernilai itu tiada maknanya. Kalau setakat ada tanah rizab Melayu buat menyemak mata sahaja lebih baik lah tiada.

Setakat ini yang bijak menggunakan tanah rizab Melayu ialah orang politik. Yang prokerajaan akan berhujah betapa tanah rizab Melayu wajib dipertahan manakala pembangkang akan menuduh yang gagal mempertahankan 'kubur keramat' tersebut adalah UMNO. Dua-dua berlakon kononnya menjaga tanah rizab Melayu.

Demang syorkan hapuskan sahaja tanah rizab Melayu sebab ia sudah jadi jelatang (kata orang dulu-dulu), atau duri dalam daging (kata guru bahasa Demang), atau liabiliti (kata orang sekarang).

Orang cina tak perlukan tanah rizab Melayu. Mereka beli tanah di sekeliling tanah rizab Melayu, bina rumah mewah yang orang Melayu tidak mampu beli, dan akhirnya kampung Melayu jadi macam kampung setinggan.

Tanah rizab Melayu hanya jadi modal kempen pilihanraya orang politik dan selepas pilihanraya, masing-masing melapah dan berbedak keuntungan hasil pilihanraya. Calon BN jadi YB, calon BA pun jadi YB. Dewan rakyat jadi medan melonjakkan populariti.

Malaysia dah tak ada tanah kosong ke?

Satu lagi tempat yang perlu perwakilan UMNO jengah ialah bangunan perniagaan orang Melayu. Lihatlah betapa lengangnya. Kalau di Melaka, cuba tinjau Kota Fesyen di Ayer Keroh. Berapa banyak kedai yang masih beroperasi?

Cuba tanya peniaga di situ berapa sewa yang perlu mereka bayar? Kenapa kerajaan perlu beriya-iya mengaut untung daripada rakyat? Apabila sewa bangunan tinggi, harga barang pun melonjak. Siapa yang rugi?

Salah satu puncanya ialah orang tengah yang membeli dan menyewakan kedai kepada usahawan tulin. Mereka buat loan bank dan berharap untung atas angin setelah ditolak riba bank.

Bank? Biasalah, kalau bukan hidup dengan riba, bukanlah bank namanya. Kalau tiada orang muflis, bank lah yang muflis.

Sepatutnya ada syarat tambahan, individu yang tidak mahu berniaga, lot kedainya ditarik balik! Beri hanya kepada yang serius menjadikan perniagaan sebagai mata pencarian.

Jangan bandingkan dengan sewa kedai di pusat membeli belah. Pengurusan mereka proaktif sedangkan di bangunan milik perbadanan, maaf cakaplah. Kalau disebut nanti, ada pula yang melenting.

Janganlah juga diungkit soal sikap orang Melayu. Jika Melayu bersikap negatif, itu adalah berpunca daripada pemimpin juga. Pemimpinlah yang sepatutnya terlebih dahulu proaktif.

kotak apa ni? Burung merpati pun taknak.

Kenapa tak dipugar dan diteroka tanah baru tanpa perlu membayar pampasan pada pemilik? Dengan RM0 kos pampasan harga tanah, kos pembinaan bangunan akan jadi lebih rendah. Binalah perumahan sederhana banyak-banyak dan bagi saguhati pada pemaju. Beri saguhati termasuk anugerah dato atau tan sri; dan bukannya jadikan mereka kayaraya sehingga sombong dan berlagak dengan banglow gaya istana dan kereta-kereta mewah untuk anak bini melaram.

Demang bukan tidak mahu pemimpin dan usahawan Melayu jadi kaya raya. Usahawan cina jauh lebih ramai yang kaya raya namun masyarakat bawahan kaum cina tidak seperti rakyat bawahan berbangsa Melayu. Itu realiti yang perlu pemimpin UMNO fikir dengan kritis dan kreatif. Jangan hanya pandai jual air liur sahaja!

Ingat, tsunami yang hampir-hampir memadamkan riwayat UMNO baru-baru ini muncul akibat rasa meluat rakyat pada sikap sombong, ego, dan mengada-ngada pemimpin muda UMNO.

Demang percaya artikal ini tidak akan dipedulikan langsung oleh pemimpin UMNO. Buktinya, lihatlah tapak lot perniagaan di PWTC semasa persidangan UMNO nanti. Di situpun jerung-jerung UMNO nak melahap juga dengan sewa tapak beribu-ribu. Padahal orang Melayu nak jual ikan pekasam sahaja di situ!

Orang UNNO hanya fikir... untung.. untung... untung...

Monday, November 17, 2014

Pelancaran bulan retorik

Hari ini Demang dikehendaki hadir bagi memenuhkan ruang dalam dewan negeri Melaka untuk majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat  negeri Melaka.

Demang sekadar ganti orang. Kebetulan dewan ini tidak jauh dari rumah Demang. Kebetulan juga bendahara Melaka pun hantar wakil sebagai perasmi dan pengarah DBP pun turut menghantar wakil.

Alah... bukan program penting sangat. Cuma bulan bahasa. Bahasa Melayu pulak tu.

Seperti majlis perasmian lain, aturcaranya dipenuhi ucapan-ucapan yang muluk-muluk serta retorik sebagai halwa telinga. Isu bahasa sebenar dianggap habuk-habuk dan serdak yang mudah disapu ke bawah karpet. Nanti tukang sapu boleh bersihkan.

Kemuncak majlis perasmian ialah seorang lelaki mengetuai lafaz ikrar dan disahut para hadirin beramai-ramai.

Maaf, Demang cepat-cepat keluar sebelum perkataan pertama ikrar keluar daripada mulut ketua ikrar sebab tiba-tiba sahaja Demang terasa loya. Demang taknak termuntah atas karpet mahal dewan tersebut.

Lagipun, Demang anggap ikrar macam sumpah juga. Demang tak berani nak bersumpah perkara yang Demang tak mampu laksanakan.

Tidak perasankah mereka betapa pihak yang menguruskan surat perjanjian, surat tuntut hutang, surat tawaran, surat peringatan, surat jual beli, surat jaminan, dan pelbagai dokumen termasuk undang-undang di Malaysia ini menganggap bahasa kebangsaan (bahasa Melayu?) sebagai bahasa kelas kedua atau ketiga sahaja?

Mustahil mereka tidak tahu! Namun setiap tahun bulan bahasa dilancarkan juga sebab di situ ada banyak ruang dan peluang untuk mengaut untung.

Paling tidakpun, bertambah elaun ceramah pakar-pakar bahasa.

Demang mintak maaf pada aktivis bahasa. Ambil lah bayaran daripada usaha anda tetapi jangan dilupa perjuangan memartanatkan bahasa. Demang sekadar rakyat biasa yang hanya tahu berbahasa Melayu. Jangan dikhianati orang seperti Demang ini yang terpaksa menandatangani perjanjian tanpa memahami sepenuhnya perkara tersebut.

Thursday, November 13, 2014

menghina aqidah rakyat majoriti

Mufti NS yang mempertikai keputusan mahkamah dalam isu lelaki berpakaian wanita bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana takut didakwa sebagai menghina mahkamah.

Demang pun bimbang dikatakan menghina mahkamah namun bagaimana pula jika mahkamah menghina Islam? Barangkali mahkamah boleh berdalih dengan alasan Malaysia bukan negara Islam namun bagaimana dengan Perkara 3 Perlembagaan yang menegaskan Islam adalah agama bagi Persekutuan (Malaysia)?

Mahu diputarbelitkan jugakah Perkara 3 tersebut?


Berikut adalah petikan perlembagaan kita:

"(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan."

"(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya."

Perlembagaan digubal bagi menjaga rakyat majoriti. Jika terdapat baris dalam perlembagaan yang bertentangan dengan kepentingan rakyat majoriti maka perkara tersebutlah yang perlu dipinda, bukan meminda aqidah rakyat majoriti.

Bagi Demang perlembagaan kita sudah berada pada landasan yang betul namun sering diputarbelit untuk kepentingan pihak tertentu.

Malah Demang juga berpendapat enakmen syariah NS juga selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan.

Dalam isu pondan tersebut, jelas ia bertentangan dengan agama Islam yang diiktiraf sebagai agama bagi negara kita. Justeru kenapa lelaki bertiga itu pula yang menang manakala sekalian rakyat Malaysia diputuskan bersalah?

Demang fikir sudah sampai masanya YDA melaksanakan peranan baginda selaku ketua negara merangkap ketua agama Islam. Meski di setiap negeri sultan adalah ketua agama bagi negeri masing-masing namun ia perkara kedua yang boleh diselaras kemudian.

Bukankah YDA memang berada di atas sekali manakala kuasa eksekutif, perundangan (parlimen), dan pengadilan (mahkamah) adalah kuasa yang dipinjamkan oleh YDA?

Wajarkah kita biarkan persoalan akhirat kita ditentukan oleh pihak yang mahir undang-undang dan mampu mengeksploitasinya? Dan apabila kita mahu mencabar keputusan tersebut, yang akan memutuskannya juga pihak yang kita cabar itu. Boleh menangkah kita bertanding dalam kerangka yang mereka bina malah peraturan pertandingan juga mereka yang gariskan?

Pihak mana sebenarnya yang kita sandarkan amanah untuk menjaga kepentingan kita? Ataukah kita pasrah menyerah nasib sendiri untuk ditentukan sekumpulan manusia?

Wednesday, November 12, 2014

Rompakan bercermin gelap

2 orang lelaki tanpa senjata, menaiki kenderaan bercermin gelap dan menggunakan plet asal tetapi ukuran tidak mengikut piawaian telah berjaya merompak sebuah bank di ibu negara dan masih tidak dapat dikesan walaupun berpuluh cctv dipasang di kawasan tersebut.

Pihak JPJ yang dihubungi memberitahu rompakan tersebut pasti gagal sekiranya perompak tersebut tidak memasang tinted serta menggunakan plet standard pada keretanya ketika melakukan kerja-kerja rompakan.

Maaf jika lawak di atas kurang menjadi.

Apapun, johan rajalawak minggu ini nampaknya jatuh pada JPJ. Video kenyataan orang kuat JPJ dengan target kematian rakyat Malaysia berlegar dalam media sosial dan menjadi bahan ketawa.

Begitu juga foto kereta orang kuat JPJ yang bercermin gelap turut masuk ke group-group whatsapp & Telegram rakyat jelata dan berkarung sumpah seranah mengiringinya. Kenyanglah orang JPJ makan sumpah.

Bagi Demang itu adalah kegagalan mutlak JPJ samada disengajakan atau tidak.

Kalau dilihat pada gayanya, isu ini seolah disengajakan dan sasarannya sudah tentu pada PM. Dengan kata lain, nampak macam ada agenda terlindung untuk memalukan PM.

Sepatutnya JPJ memberi kefahaman pada rakyat tentang rasional cermin kereta tidak digelapkan dan plet kereta mesti standard.

Apa yang rakyat nampak sekarang ialah kerajaan sedang mencari wang untuk menampung pelbagai perbelanjaan dan rakyat yang menanggungnya.

Demang sendiripun hairan, kenapa ada kamera pada laluan 90km/jam sedangkan lebuhraya berbayar itu cantik dan lurus? Bukan sedikit wang rakyat telah digunakan untuk membina dan menyelenggaranya.

Demang masih berfikir, apa kaitan cermin gelap dengan keselamatan jalanraya? Berapa banyak rompakan menggunakan kereta bercermin gelap? Adakah selepas ini perompak akan menggunakan kereta tanpa cermin gelap?

Demang fikir jika Najib mengesyaki ada pihak cuba mensabotaj beliau agar orang lain dapat menjadi PM, maka orang atasan JPJ adalah antara yang wajib diselidik.

Suspect utama tu....

Thursday, November 6, 2014

Kes buli di rumah yatim

Menurut angin pus-pus yang singgah di tangan Demang salah satu
video kes buli itu berlaku di sebuah rumah anak yatim.

Agak mengejutkan kerana yang menjadi mangsa dikatakan baru berumur 11 tahun.

Keluhan Demang: kenapalah sama-sama senasib yakni ditinggalkan di rumah anak yatim pun saling bergaduh?

Demang katakan 'ditinggalkan' kerana anak-anak yatim terutama yang masih kecil tidak sepatutnya berada di mana-mana pusat penjagaan.

Tempat mereka adalah di rumah dan bersama keluarga. Tidak kiralah samada keluarga kandung, datuk-nenek, atau bapa saudara.

Rasulullah sendiri adalah anak yatim dan baginda tidak pernah diletakkan di mana-mana pusat. Kalau diikutkan, baginda memang biasa dipisahkan daripada ibu kandung semasa umur menyusu.

Namun setelah bonda baginda meninggal, tanggungjawab ibubapa yang dijemput lebih awal mengadap Ilahi diambil oleh Abdul Mutalib iaitu datuk baginda dan setelah itu oleh bapa saudara baginda iaitu Abi Talib.

Abdul Mutalib dikatakan bukan orang kaya walaupun menjadi ketua masyarakat Mekah ketika itu namun beliau mengambil tanggungjawab tersebut kerana itulah peraturannya.

Bagaimana kita hari ini?

Kanak-kanak tidak tahu apa-apa sehinggalah ia dicorak oleh persekitaran dan didikan. Manusia mempunyai fitrah yang menyaluti diri dan tidak boleh diabaikan. Sentuhan kasih sayang dalam keluarga tidak kan sama dengan disiplin dan peraturan asrama.

Demang tidak katakan tidak boleh menghantar anak ke asrama. Anak-anak biasa tinggal di asrama kerana sekolah jauh daripada rumah dan bagi memudahkan pembelajaran. Pada waktu-waktu tertentu, mereka akan pulang ke rumah.

Dalam hal ini pun bagi Demang sepatutnya anak-anak dibenarkan lebih kerap pulang ke rumah sendiri. Apabila anak-anak jarang berada bersama keluarga maka apabila dewasa dan berumah tangga, jangan salahkan mereka jika mereka jarang menjengah ibu bapa.

Berbalik pada isu anak yatim, lihatlah contoh yang berlaku pada Rasulullah saw. Anak yatim tidak termasuk dalam 8 asnaf yang layak menerima zakat kerana mereka tidak semestinya miskin. Adakalanya harta ibu bapa mereka terlepas pada orang lain.

Namun jika mereka miskin maka layaklah mereka menerima zakat. Begitu juga jika bapa saudara yang menjaga mereka itu miskin maka layaklah bapa saudaranya menerima zakat.

Demang bukan ahli dalam hukum Islam namun begitulah yang Demang faham.

Penghakiman berpilih: algojo atau algelojoh?

Dua video sensasi yang tersebar melalui media sosial semalam seperti biasa dengan pantas mengundang kegemparan masyarakat.

Maka berjujutlah respon semerta dengan kutukan dan simpati. Rata-rata mengutuk pelaku remaja samseng yang berlagak hero membelasah orang yang tidak melawan dan bersimpati dengan mangsa buli tersebut.

Setakat yang Demang lihat, tidak ada yang menyebelahi pembuli, termasuklah Demang.

Menjelang petang, tersebar pula foto-foto seorang pemuda/remaja bertelanjang dalam keadaan lemah dikerumuni orang ramai. Tangannya berikat dan kelihatan darah mengalir dileher dan dadanya. Mulut membengkak dengan muka lebam-lebam.

Ironinya kali ini respon orang ramai berubah. Mangsa bukan sahaja tidak mendapat simpati bahkan ada yang menulis 'padan muka' sebagai respon.

Rupa-rupanya lelaki itu ditangkap, dibelasah dan dituduh mencuri motorsikal.

Sudah tentu Demang tidak akan menyebelahi sipencuri namun apakah hak orang ramai untuk menjadi hakim dan pelaksana hukuman dalam kes tersebut?

Demang dengar-dengar, dalam kes 'belasah' di asrama dalam salah satu video awal tadi, pelajar berkenaan dipukul kerana dipercayai mencuri telefon pintar milik salah seorang pelajar yang memukul itu.

Jika benar demikian kenapa masyarakat memberi hukuman yang berbeza dalam dua kes yang hampir sama?

Adilkah kita?

Wednesday, November 5, 2014

Tiada yang sia-sia ciptaan Allah

Melihat sekumpulan anak-anak istimewa sedang makan di meja sebelah menyebabkan suapan Demang terhenti seketika.

Anak istimewa? Apa yang istimewanya dilahirkan cacat? Apa untungnya mendapat anak yang tidak serupa anak orang lain?

Turut makan bersama kanak-kanak tersebut ialah beberapa orang guru dan pembantu  mereka. Salah seorang daripada guru tersebut berjawatan GPK-Khas; yakni seorang guru kanan di sekolah.

Suatu ketika dahulu ramai yang menganggap anak yang cacat hanyalah bebanan, bahkan ada yang melihat sebagai pembawa bala. Masih ingat filem Dajal Suci?

Hari ini ilmu membuka mata manusia untuk melihat di hadapan dan di belakang sesuatu ciptaan Allah taala. Maka manusia tidak sekadar mengeluh sebaliknya menerimanya sebagai satu 'cabaran'.

Anak-anak dikumpulkan dan diberi pendidikan khas. Mereka dididik untuk meneruskan kehidupan di dunia sebelum tiba di negeri yang kekal.

Dalam proses menguruskan anak-anak istimewa, ramai manusia lain yang terlibat secara langsung. Ada unit pendidikan khas dengan para pegawainya, GPK-Khas, guru pendidikan khas, dan pembantu pendidikan khas.

Muncul pula penyedia peralatan pendidikan khas dan lain-lain.

Demikian Allah taala mengatur manusia dan di setiap proses tersebut ada dosa dan pahala.

Demang bersyukur kerana tidak diberikan ujian ini namun Demang kagum dengan ketabahan orang yang menerimanya.

Tahniah. Allah taala menyediakan ganjaran di sebalik ujian-Nya. Insya-Allah.

"Namun Ku Punya Hati" - Revolvers

Senyumku tak seghairah,
Gerak gaya tidak selincah,
Mataku tak seayu,
Kicau burung pun tak semerdu.

Namun ku punya hati,
Juga gayaku perasaan, 
Hidupku yang sebegini,
Kadar waktu diizin Tuhan.

Tidakku minta,
Lahir ke dunia,
Tidakku duga,
Cacat begini,
Bukanku pinta,
Kasih dan saying,
Bukan ku rayu bantu simpati.

Maafkan wahai teman,
Kumenumpang di sudut dunia,
Mencari ketenangan, 
Sampai masa ku pergi jua

Monday, November 3, 2014

ditimpa ujian lagi

Ujian, ujian, ujian... bilakah ujian 'kan tamat?

"Kenapa masalah datang bertimpa-timpa pada saya?" tanya seorang wanita.

"Itu tandanya Allah sayang pada kakak," jawab Demang.

"Sayang apa kalau tak habis-habis hidup susah. Tak cukup dengan susah, kena penyakit, anak sakit, suami lumpuh, dan macam-macam lagi." wanita lebih separuh abad itu terus menggumam.

"Kakak pernah ambil ujian di universiti?"

Geleng.

"STPM?"

Geleng juga.

"SPM?"

Geleng lagi.

"SRP?"

Angguk.

"Lulus?"

Geleng, geleng, geleng.

Kakak tahu tak, salah satu sebab kakak hidup susah di dunia ini kerana kakak tidak pernah lulus semua peperiksaan tersebut. SRP pun gagal. Itu ujian dunia, dan kakak sudah tiada peluang lagi untuk mengulang semula.

Namun kakak jangan bimbang kerana kakak masih hidup dan ujian Allah masih banyak yang boleh kakak duduki. Berusahalah bersungguh-sungguh supaya kakak lulus dalam semua ujian hidup dan kalau boleh lulus dengan cemerlang.

Nota:
Dedikasi untuk semua anak-anak kita yang menduduki SPM bermula hari ini. Semoga dipermudah dan mendapat kejayaan cemerlang.

Friday, October 31, 2014

Gendang perang pun dipalu

Kalau kita baca sejarah di mana-mana ceruk dunia pun, salah satu hobi raja-raja ialah berperang.

Peperangan tidak sahaja berlaku secara tiba-tiba akibat sebab-sebab semerta malah ada ketua negara yang menjadikannya seperti liga bola sepak, iaitu ada musimnya.

Objektif peperangan adalah menewaskan pihak lawan. Dalam peperangan hanya ada satu hukum: membunuh atau dibunuh. Semua undang-undang yang biasa digunakan tertangguh semasa perang. Ini dinamakan darurat.

Dalam Islam, yang haram pun diharuskan semasa darurat.

Meskipun usia dunia semakin lanjut dan peradaban manusia dianggap semakin matang namun peperangan masih menjadi kegemaran 'raja-raja' sebagai salah satu kaedah untuk mempamerkan kehebatan.

Sifat semulajadi raja-raja untuk menewaskan pihak lain memang tidak boleh diubah. Mujur ada orang bijaksana yang berjaya menukarkan kaedah berperang kepada cara yang lebih selamat. Salah satu daripadanya ialah melalui sukan dan sayembara.

Demang kemukakan hal perang sebab malam esok akan berlangsung satu peperangan antara dua buah negeri bagi menentukan pasukan anak raja mana yang lebih hebat.

Alhamdulillah, mereka sekadar menggunakan sebiji bola dan semoga tiada yang cedera atau terbunuh samada yang terlibat di padang mahupun penyokong mereka ketika di lebuh raya.

Elok jugalah raja-raja berperang melalui pertandingan bola sepak daripada berperang menggunakan senjata pembunuh.

Apapun, jangan kita leka kerana memang masih ada negara yang tidak puas dengan hanya berlawan bola.

Thursday, October 30, 2014

Berita penting yang diabaikan

Berita 1:

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mendesak Israel agar membatalkan segera hasratnya untuk membina lebih banyak rumah di kawasan pendudukan Yahudi, pada mesyuarat tergempar bagi meredakan ketegangan di timur Baitulmaqdis.


Berita 2:

Selasa , 28-10-2014 - Sumber perubatan Palestin melaporkan , pada hari Jumaat, terdapat ramai penduduk , termasuk kanak-kanak, telah cedera selepas tentera Israel menyerang sebuah tunjuk perasaan secara aman di pintu masuk utara bandar Hebron, di bahagian selatan Tebing Barat yang diduduki Israel secara haram .
Saksi mata mengatakan ratusan rakyat Palestin berarak di bandar memprotes pelanggaran Israel secara berterusan itu, terutama serangan berterusan terhadap Masjid al -Aqsa di Yerusalem , sebelum tentera melepaskan berpuluh-puluh peluru logam bersalut getah dan bom gas kepada mereka.
Sumber perubatan berkata beberapa penduduk cedera, termasuk seorang kanak-kanak , 7 tahun, yang mengalami kecederaan sederhana dan dipindahkan ke rumah sakit setempat . Dalam berita berkaitan, pertempuran terjadi di kem pelarian ‘ Aida , di utara Bethlehem , setelah beberapa jip tentera Israel berusaha melakukan serangan.

Kedua-dua berita tersebut adalah berita semasa. Kanak-kanak yang cedera itupun Demang rasa masih belum sembuh. Namun siapa yang peduli dengan berita tersebut selain ahli keluarga dan mereka yang terlibat?

Agaknya berapa ramai yang masih menghindari produk Yahudi dan konco-konconya? Berapa ramai pula yang memboikot sekadar malu pada orang lain dan setelah nampak reda, kembali membeli dan melahap produk musuh Islam?

Meihat pada keghairahan Yaahudi membina perumahan untuk bangsa mereka di kawasan Palestin, terkenang lah Demang pada keghairahan pemaju perumahan kaum cina dan bukan cina (baca: Melayu) yang membeli tanah orang Melayu untuk dibina rumah-rumah yang tidak mampu di beli orang Melayu.


Pemimpin Melayu pula terus dungu dan beku rasa & minda. Langsung tidak ada idea untuk mengambil langkah proaktif bagi menyediakan rumah mewah tapi mampu dibeli oleh orang Melayu.

Macamana nak menyediakan rumah mewah tapi mampu dibeli oleh orang Melayu? Eh, kalau itu pun tak reti nak fikir dan tak tahu nak cari jalan, letak jawatan sahaja lah.

Wednesday, October 29, 2014

Jangan sebar fitnah ini

Mula-mula baca mesej ini dulu:

(Fwd dari group lain) MENGAPAKAH DI MALAYSIA agama Kristian berkembang dan agama Islam tidak? Kerana: Orang Islam menjual/memperdagangkan agamanya. Air jampi dijual, jus Tok Guru kononnya telah dijampi. Minyak ubat urut Anugerah kononnya dibacakan ayat suci 30 juzuk dijual dengan harga mahal. Agama Kristian tak jual malahan produknya diberi percuma. Ustaz-ustaz mengajar agama “demand”/meminta bayaran tinggi. Mubaligh Kristian berdakwah secara percuma. Sehingga jauh ke pendalaman. Malahan menanggung sendiri makan minum dan tempat tinggalnya. Jabatan Agama Islam sibuk nak tangkap khalwat, orang pergi karaoke dan bernikah di Siam. Agama Kristian sibuk membantu orang dalam kesusahan (janda, miskin, mangsa tanah runtuh, banjir). Gereja boleh dimasuki bila-bila masa tetapi masjid dikunci. (Tak bagi orang masuk, tidur kononnya). Imam solat kerana waktu kerjanya (dibayar gaji), paderi sukarela. Air zam zam dijual mahal tetapi Kristian memberi holy water secara percuma. Jabatan Agama Islam sibuk menghukum dan menakutkan orang tapi Kristian sibuk berdakwah. Ustaz-ustaz sibuk menjual tanah suci. membawa orang ke Mekah, Umrah. Harganya mahal. Bermotifkan keuntungan melampau. Paderi sibuk menaja orang orang susah membaiki rumah dan bantuan barang barang dapur. Pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam, Jabatan Zakat sibuk promosi nak naik gred bergaji besar. Bajet “pengurusan” lebih besar dibandingkan kepada golongan asnaf. Paderi sibuk membuat kebajikan. Ustaz-ustaz sibuk menjadi tok bomoh, boleh mengubati seribu macam penyakit. Paderi sibuk membina hospital. Orang Islam sibuk dengan milikan rumah besar, kereta besar, motor besar untuk kepuasan diri. Tetapi orang Kristian sibuk berdakwah mencuba menarik hati orang Islam yang tidak punya harta. Renungkanlah.

Pagi-pagi lagi Demang terima mesej di atas melalui aplikasi Whatsapp. Sebelum ini pun mesej yang sama pernah Demang terima. Kerja sebar menyebar ini manusia memang gemar. Prihatin kononnya.

Bab prihatin itu Demang pujilah namun adakah diselidik atau ditapis terlebih dahulu atau terus salin dan sebar sahaja? Apa kesan pada sebaran tersebut pada orang ramai?

Demang percaya ramai yang sudah menerima 'pesanan' bahawa setiap perkhabaran yang diterima hendaklah diselidik terlebih dahulu. Berapa ramai yang patuh saranan Islam itu?

Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang perlu kita perhatikan apabila menerima mesej seperti di atas:

Pertama, siapa yang UNTUNG apabila ia tersebar?

Kedua, siapa yang RUGI apabila ia diketahui oleh orang ramai?

Petua Demang di atas boleh digunakan selain daripada mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti.

Dalam mesej di atas jelas dinyatakan:
"Mubaligh Kristian berdakwah secara percuma"

- maka itulah pihak yang UNTUNG atau akan dipandang baik.

Juga dicatatkan tanpa berselindung:
"Ustaz-ustaz mengajar agama “demand”/meminta bayaran tinggi"

- itulah pihak yang RUGI atau yang akan dipandang buruk.

Memanglah yang disebut itu perangai manusia yang menjadi pelaku. Mereka tidak burukkan AGAMA ISLAM secara terus (direct) sebab kalau mereka kata Islam tidak baik, maka seluruh ummat Islam akan membantah. Sebaliknya apabila ditujukan pada sekelompok pelaku sahaja maka kelompok orang Islam lain akan tumpang menyerang kelompok tersebut.

Jangan lupa dalam mesej di atas turut diselitkan serangan pada produk orang Islam. Itu bertujuan agar pesaing pada syarikat tersebut ikut membantu menyebarkan mesej tersebut. Permainan mereka memang halus dan licik.

Memecah belah manusia kepada kelompok-kelompok kecil adalah modus operandi biasa syaitan di samping menimbulkan was-was dalam hati orang Islam.

Itulah strategi sebenar musuh Islam. Akhirnya mereka akan tinggalkan isu tersebut untuk bahan berkelahi ummat Islam sesama sendiri. Dalam pada itu mereka ada cukup masa untuk timbulkan isu baru pada kelompok sasaran lain pula.

Demang nak ulas sikit soal zakat. Minggu lepas berlaku ribut di Klang dan pasukan Pusat Zakat Selangor adalah kumpulan pertama yang tiba di tempat kejadian untuk membantu.

Demang juga dimaklumkan, setiap hari pusat zakat membantu asnaf yang mempunyai bil-bil tertunggak manakala orang miskin boleh mengambil barang keperluan di pusat zakat bila-bila masa tanpa prosedur yang rumit.

Malah terdapat bantuan pendaftaran masuk ke IPTA dan jika ada masalah PTPTN digantung pun pelajar berkenaan layak memohon.

Masih suka menyebar dan berkongsi berita?

Pagi ini juga Demang terima dua berita sahih yang nampak biasa sahaja tetapi jika kita berfikir, ia sesuatu yang sukar dicapai. Yang baik tetapi sukar dicapai itu dalam istilah tunggalnya ialah HEBAT!


Foto di atas adalah delegasi yang baru tiba dari London tersebut  
Sumber berita: http://www.bharian.com.my/node/14265


Berita 1:
NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memenangi dua pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan inovasi antarabangsa di Pameran Inovasi British (BIS) 2014, di London baru-baru ini.Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, USIM menang 'Gold Medal for Best Invention of The Year' dan 'Special Double Gold Award Invention of The Year' bagi produk ciptaan membran jenis baharu iaitu 'Novel Active Membrane for Dyes Wastewater' (ANF Membran) yang dicipta oleh kumpulan IMTL.

Peserta-peserta lain adalah daripada universiti terbaik seluruh dunia. Tidakkah ia amat hebat?
USIM adalah universiti yang menempatkan pelajar lepasan sekolah agama seluruh Malaysia. Pendaftarnya adalah anak peneroka Felda dan merupakan pendaftar universiti termuda di Malaysia. Beliau sendiri adalah pelajar sekolah agama.


Berita 2:


JOHOR BAHRU 28 Okt. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan inovasi dalam bidang pembinaan jalan raya dengan menggunakan bahan kitar semula yang menjimatkan 30 peratus kos selain mengurangkan penggunaan sumber asli.

Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Mohd. Rosli Hainin (foto) berkata, inovasi itu membabitkan pengubahsuaian bitumen, penggantian batu agregat serta penggunaan bahan campuran asphalt suam dan sejuk serta beberapa bahan lain dengan bahan kitar semula seperti abu kelapa sawit, minyak enjin terpakai, buangan besi dan bijih tembaga.

(See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/utm-bina-jalan-guna-bahan-kitar-semula-1.18048#sthash.kBvShoAH.dpuf)

Prof Rosli Hainin dalam berita tersebut datang daripada keluarga peniaga pekan sehari di Temerloh dan beliau juga pelajar daripada sekolah agama.

Demang catatkan sedikit latar belakang Pendaftar USIM dan seorang profesor UTM dengan kejayaan masing-masing bagi menunjukkan walaupun orang Melayu tidak dibesarkan dengan infrastuktur yang cukup sebagaimana anak-anak kaum lain yang lebih terbela sejak zaman penjajahan kafir Inggeris, namun dengan adanya ilmu Islam disepadu dengan ilmu-ilmu dunia (nota: semua Ilmu daripada Allah taala), kita bukan sahaja mampu keluar daripada kemiskinan malah muncul sebagai pemimpin dunia.

Bukankah ummat Islam itu dijanjikan Allah sebagai ummat terbaik yang memimpin dunia?

Maka berhati-hatilah dalam menyebarkan berita. Jangan sampai niat baik kita berbalik menjadi dosa yang kadangkala boleh menghancurkan usaha dakwah Islam.

Meskipun Demang catatkan tadi dua orang sahaja namun itu sekadar contoh. Kita ada jutaan pakar di seluruh dunia yang beragama Islam. Mereka sedang berdakwah dan berbakti menggunakan kepakaran masing-masing untuk kesejahteraan manusia.

Itulah yang dinamakan ULUL ALBAB dan usaha melahirkan generasi ulul albab sedang berjalan dengan amat aktif sekarang.

Tuesday, October 28, 2014

Harapan terakhir samad said pada anwar ibrahim

Pagi ini di Istana Kehakiman sekumpulan rakyat Malaysia sedang berlonggok menanti keputusan akhir rayuan Anwar Ibrahim.

Turut sama dalam kelompok yang begitu jauh mengecut berbanding sebelum ini ialah A. Samad Said Sasterawan kita.

Meskipun Demang sering menyindir Pak Samad yang sering kelihatan diperbodohkan para penggubal agenda sulit namun sesekali timbul juga rasa simpati.

Pak Samad hampir keseorangan kini. Aset sebagai Sasterawan Negara tidak begitu membantu sementelah bukan ramai orang kita yang berminat membaca karya sastera. Kalau Pak Samad aktor filem, barangkali beliau akan lebih dihargai.

Persoalan Demang kini ialah siapa selepas Anwar? Adakah negara akan kembali menjadi sapi yang diperah susunya tanpa banyak bantahan?

Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Isu perumahan nampaknya terselit dihimpit isu bahanapi kenderaan yang lebih diperhatikan padahal rumah adalah keperluan asas yang lebih penting.

Sekarang kita di tahun 2014 dan rakyat bukan sekadar perlu mempunyai rumah bahkan setiap keluarga perlu tempat tinggal yang lebih selesa. Setakat ini hanya kaum cina yang memiliki rumah sedemikian. Adakah orang Melayu, bumiputera, dan India itu rakyat kelas kedua?

Demang lihat Pak Samad berjuang untuk Anwar dan beliau mungkin berharap Anwar menjadi hero rakyat. Sayangnya Demang tidak nampak Anwar benar-benar berjuang untuk rakyat.


Sumber berita & foto:
Berita Harian Online

Monday, October 27, 2014

Hapuskan rumah murah melayu

Masa kecik-kecik dulu di kampung Demang dekat Jitra Kedah ada kawasan perumahan dipanggil Rumah Murah. Emak menakan Demang pun ada yang tinggal di situ.

Walaupun dinamakan rumah murah namun bagi Demang ia adalah kawasan elit sebab rumah itu diperbuat daripada batu manakala di kampung Demang hanya rumah kayu dan masih banyak beratap rumbia.

Rumah murah mempunyai dua bilik, satu ruang tamu dan yang paling hebat ialah ada tandas di dalam rumah. Masa itu masih ramai orang Melayu yang menggunakan jamban terbang dengan kata lain, berak sahajalah di mana-mana yang sempat!

Tidak lama selepas itu istilah rumah murah lenyap dan muncul pula Rumah Awam'. Sebenarnya ia hanya berlainan perkataan dan ejaan padahal rumah awam itu sememangnya rumah murah 100%.
Apapun namanya, ia tetap mempunyai dua bilik iaitu satu untuk ibu dan bapa manakala anak-anak berkongsi bilik tak kira lelaki atau perempuan.

Kini rumah murah atau rumah awam sudah tidak disebut lagi dan diganti dengan panggilan 'taman perumahan'. Masa Demang bersekolah di Kuantan dan mendengar sebutan 'taman' Demang agak keliru dengan 'taman bunga' dan 'taman permainan'.

Taman-taman perumahan terus tumbuh macam cendawan dengan pelbagai versi. Setiap versi 'diKASTAkan' mengikut kemampuan.

Meski sudah tiada istilah rumah murah namun orang Melayu kekal tinggal di rumah yang paling murah di samping rumah yang 'dibina sendiri' di kampung-kampung. Ada juga kampung tersusun namun kebanyakan kampung adalah tidak tersusun yang kedudukan rumah-rumahnya bersepah-sepah.

Bentuk rumah orang Melayu, tak usah cakaplah. Disambung-sambung dan ditambah-tambah mengikut keperluan dan tentunya bergantung pada kemampuan.

Demang bawa kisah perumahan kali ini kerana Demang baru tersedar betapa orang Melayu yang negaranya sekarang pernah bernama Tanah Melayu tinggal di rumah kecil dan bersepah-sepah manakala orang bukan Melayu yang nenek moyang mereka tiba ke semenanjung ini pada zaman penjajahan Inggeris, mendapat pertempatan yang tersusun dan jauh lebih selesa.

Apa masalah negara ini sebenarnya?

Dalam sistem manusia, kita berada dalam satu hirarki berbentuk piramid. Letaklah apa sistem pun, begitulah bentuknya. Di atas sekali bersemayam sang raja dan ia berlaku di mana-mana hatta dalam negara komunis sekalipun.

Di baris kedua ada beberapa orang yang akan menasihati sang raja dan semakin kebawah, semakin ramailah penjawat dan penghuninya. Di barisan paling bawah adalah rakyat jelata.

Demang bukan nak pertikaikan fitrah manusia itu sebaliknya nak tanya, jika pemimpin kaum cina boleh menyusun dan menempatkan saudara mara swrta zuriat keturunan mereka di kawasan pertempatan sederhana dan mewah, kenapa pemimpin Melayu sekadar menyediakan kotak-kotak kecil untuk tempat orang Melayu menjaga keluarga yang merupakan aset penting kita?

Keluarga itulah yang akan melahirkan zuriat kita yang merupakan penerus generasi Melayu yang beragama Islam! Paling tidakpun yang akan mengundi dalam pilihanraya!

Tidak bolehkan difikirkan satu plan bagi mereka mendapatkan kediaman yang setara dengan kaum lain?
Kurangkah tanah di negara kita bagi membuka pertempatan baru? Tak bolehkah dicari jalan agar harga diturunkan serendah yang boleh? Tidak bolehkah diberi peruntukan daripada khazanah negara tanpa mengira sebarang keuntungan? Tidak bolehkah digembeling semua sumber dan faktor dalam negara bagi menyediakan kediaman selesa dan murah tapi MEWAH?

Kenapa Demang kata MEWAH? YA, sebab jika orang yang datang menumpang "ketika zaman Inggeris" (faham baik-baik ye) boleh tinggal di rumah mewah kenapa orang yang mula-mula membuka pertempatan di semenanjung Tanah Melayu ini dipinggirkan daripada hasil mahsul kepunyaan negara?
Jika Tun Razak boleh cari jalan bagi membolehkan orang Melayu memiliki tanah dalam keadaan negara masih miskin, kenapa selepas negara dikurnia Allah Taala pelbagai sumber rezeki peminpin dan pemikir kita gagal memberikan yang terbaik untuk pengundi mereka?

Perlukah rakyat mencari seorang lagi Anwar Ibrahim bagi menggegarkan pemimpin Melayu yang asyik terlelap ketika sedang bekerja?

Demang sarankan, HAPUSKAN semua rumah kos rendah atau rumah murah dan gantikan dengan rumah sederhana mewah dan rumah mewah untuk orang Melayu.

Jangan timbulkan langsung soal orang Melayu tidak mampu sebab jika ramai orang Melayu tidak mampu bermakna itu adalah KEGAGALAN MUTLAK pemimpin Melayu. Buat apa ada pemimpin jika tidak tahu memimpin dan membantu ke arah kejayaan?

Rumah adalah keperluan asas tetapi jangan kata rumah murah sudah memadai kecuali jika semua warga Malaysia tinggal di rumah murah dua atau tiga bilik.

Bagi yang baru mengikuti atau terlepas pandang artikal Demang sebelum ini, Demang sedang membicarakan isu perumahan mewah yang sedang dibina di kampung Demang berharga RM750 ribu dan ke atas. Agak-agak berapa ramai orang Melayu yang mampu beli?




 

Thursday, October 23, 2014

Video mirip pendakwah tersebar

Sedang tersebar di media sosial sekarang ialah video yang menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita sedang memadu asmara.

Demang percaya dalam masa beberapa minit sahaja ratusan ribu kalaupun bukan jutaan salinan video tersebut tiba di tangan rakyat Malaysia.

Berbeza dengan video yang dikatakan skandal pemimpin politik sebelum ini yang agak kabur, video yang memaparkan pelaku berwajah mirip pendakwah tersohor itu begitu jelas dan dari sudut yang amat molek.

Persoalan pertama dalam kepala Demang ialah pihak manakah yang UNTUNG dengan video tersebut dan pihak mana pula yang RUGI?

Demang rasa jika kita memikirkan persoalan yang Demang kemukakan ini kita akan dapat menghindari daripada terjebak dalam permainan iblis dan syaitan.

Adakah UMNO sedang terdesak sekarang sehingga terpaksa menyebarkan video tersebut? Adakah PAS mempunyai motif untuk mengaut keuntungan dari isu ini?

Demang tidak sebut parti utama lain kerana hanya UMNO dan PAS sahaja parti orang Islam. Perlu diingat, video ini melibatkan seorang pendakwah Islam yang sangat terkenal dan amat berpengaruh.

Demang tinggalkan pada anda persoalan yang perlu direnung:

Pihak manakah yang UNTUNG dengan video tersebut dan pihak mana pula yang RUGI?
Barangkali dari situ kita akan dapat jawapannya.

Apapun yang paling baik ialah jangan sebarkan dan jangan terlibat sama sekali.

Monday, October 20, 2014

punca sebenar ali rostam kalah di melaka

Kerja-kerja pembinaan rumah mahal di kampung Demang semakin rancak.

Tahniah bekas KM Melaka Ali Rostam atas jasa besar beliau mengubah kampung tempat salah satu peti undi parlimen Bukit Katil daripada sebuah kampung Melayu 99.9% menjadi pertempatan bercampur yang bakal menyukarkan lagi BN untuk kembali menguasai parlimen tersebut.

Tak apa lah. Itu hal lain. Pandai buat, tanggunglah akibatnya. Belum sempat perumahan itu siap pun dah tersungkur di kampung sendiri. Kalah dengan Pemuda PKR yang tak dikenali pun di Melaka.

Petang semalam Demang telefon pihak pemaju perumahan. Mana tau kalau-kalau Demang boleh pecah tabung untuk beli sebuah rumah untuk keluarga Demang. Maklumlah, Demang pun belum pernah beli rumah.

"RM900k ke atas," kata perempuan yang menjawab panggilan itu. 

Dari lenggok bahasanya Demang rasa bukanlah orang Melayu dan syarikat pemaju itupun, faham-faham sahaja lah.

Projek itu sebenarnya tertangguh lama sebab ada pemilik tanah yang enggan melepaskan haknya. Kebetulan lokasi tanahnya amat penting kerana melibatkan jalan masuk ke kawasan yang hendak dimajukan itu.

Akhirnya beliau terpaksa menjual tanah tersebut setelah mendapat 'arahan' daripada KM melalui telefon.

Demang tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita itu tetapi itu adalah salah satu sebab Ali Rostam kalah di parlimen Bukit Katil dan orang kuat beliau iaitu Ketua Pemuda UMNO Melaka tewas kepada PAS di DUN Bukit Baru.

Sampai sekarang Demang tak pernah tertembung dengan YB Dr itu atau mendengar sebarang program untuk rakyat yang diwakilinya. Mungkin Demang yang tidak tahu. Salah rakyat kah jika rakyat tidak tahu program wakil rakyat?

Demang malas nak ungkit lagi isu tersebut. Demang nak ulas perkara lain.

Semua orang tahu asal nama semenanjung kita ini ialah Tanah Melayu. Maka dibuatkan undang-undang bahawa ada tanah yang tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Melayu dan bagi tanah yang boleh mereka beli akan dijual pada harga yang mahal. Selalunya, sangat mahal.

Inilah yang nak Demang kongsi di sini.

Apabila harga terlalu mahal maka orang cina tidak mampu membeli secara persendirian. Mereka bersatu dan beli secara berkongsi. Mereka buat rumah banyak-banyak di atas tanah yang mahal itu dan mereka dapat seorang sebuah rumah dengan harga yang mampu dimiliki.

Mereka tak buat rumah kos rendah. Mereka buat rumah sederhana mewah dan rumah mewah sebab keselesaan tempat tinggal itu penting untuk keluarga. 

Pemimpin Melayu pula sibuk nak buat rumah kos rendah untuk saudara seagama mereka sedangkan mereka sendiri tinggal di banglow mewah!!!

Ops... kita ada quota bumiputra. Maka sebahagian kecil dijual kepada bumiputra yang kaya. Yang tak ada banyak duit macam Demang melopong sahaja lah.

Sampai sekarang Demang hairan, bagaimana orang bukan Melayu mampu beli rumah-rumah mewah begitu? Kenapa Demang masih tidak mampu?

Kalau Demang yang berstatus golongan pertengahan pun belum mampu memilikinya, bagaimana dengan orang Melayu lain? Agaknya Demang seorang sahaja yang tidak mampu.

Baru-baru ini tersebar dalam media sosial bagaimana pemaju perumahan memanipulasi jual beli rumah sehingga tanpa disedari orang Melayu membayar harga yang lebih tinggi daripada kaum lain.

Nampak sangat bodoh dua tiga kali pemimpin orang Melayu. Nampak sangat pemimpin politik kalangan Melayu cuma pandai membelit sesama sendiri dan tiada agenda ikhlas bagi membantu bangsa sendiri.

Demang menulis bukan supaya kita cari jalan untuk menindas atau merampas hak bangsa lain. Demang nak pihak yang kita anggap sebagai pemimpin orang Melayu berfikir secara ikhlas untuk membantu rakyat kerana Allah Taala, bukan semata-mata kerana UNDI!

Demang nak beritahu pemimpin UMNO bahawa orang Melayu ini tidak perlukan bantuan Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja untuk menukarkan kerajaan sedia ada. Dalam zaman teknologi maklumat dan tsunami media sosial seperti sekarang, dengan kuasa undi setiap orang, UMNO akan menjadi Parti Orang Pelarian Melayu-Nusantara suatu hari nanti.

Boleh faham ke ni?

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)