Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Tuesday, October 27, 2009

Hantu Tok Nik


Alkisah di sebuah kampung, tinggal seorang lelaki yang dipanggil orang Tok Nik. Akan Tok Nik ini tidaklah berada seorang diri di kampung itu. Jika demikian, masakan beliau boleh digelar Tok Nik. Tentulah gelaran tersebut diberi oleh orang lain. Jarang dibuat orang memberi gelaran pada diri sendiri.

Panggilan Tok Nik yang diberi bukan kerana beliau sudah bercucu tetapi kerana beliau sudah tua. Sebelum ini orang ramai memanggilnya Pok Nik. Ada juga yang memanggilnya TokGuru, terutama orang dagang yang baru mengenali beliau melalui beberapa kerat anak muridnya.

Akan Tok Nik ini bukanlah sebarangan orang adanya. Banyak jugalah ilmu yang dimilikinya selain ilmu hisab (matematik) dan ilmu sains (sukatan lama sijil penilaian sekolah rendah).

Salah satu ilmu yang amat dibanggakan beliau ialah ilmu jin dan hantu (singkatannya, ilmu Jihan). Justeru Tok Nik amat ditakuti oleh kawan dan lawan lantaran memiliki ilmu tersebut. Maka selain lembu, kambing, ayam, dan itik, Tok Nik juga dikatakan memelihara beberapa ekor hantu. Antaranya ialah jembalang tanah, jin bukit, hantu raya, toyol, dan pelesit.

Pernah juga anak murid beliau bertanya tidakkah perusahaan memelihara makhluk-makhluk itu bertentangan dengan Islam? Namun Tok Nik dengan tegas menyatakan bahawa tidak salah mendapat pertolongan hatta daripada syaitan sekalipun. Apalah sangat dengan jin-jin yang juga makhluk ciptaan Allah itu. Lagipun tujuan beliau ialah bagi menjaga ladang, ternakan, dan hartanya daripada musuh. Dengan kata lain beliau cuma hendak mengalahkan musuhnya. Beliaupun bukan mencari, sebaliknya makhluk-makhluk itu datang sendiri, yakni diwarisi daripada nenek moyangnya.

Arakian datang pada suatu ketika Tok Nik pun terasalah dirinya sudah semakin tua dan sering pula uzur. Maka terbetiklah di hatinya untuk meninggalkan amalan memelihara makhluk-makhluk tersebut. Maka dibukanya kitab-kitab lama bagi mencari petua membuang belaan. Rupa-rupanya bukan mudah untuk membuang 'sahabat-sahabat' sebegitu. Puas diselongkar segala macam kitab namun tidak juga ditemui petua yang berkenaan. Hendak ditanya pada orang lain, sudah tentu akan menjatuhkan maruah Tok Nik yang merupakan penasihat utama kelab Jihan se-Nusantara.

Akhirnya setelah puas membelek dan menelaah, maka dapatlah suatu petua yang difiikirnya bagus untuk dipraktikkan. Mengerepot-ngerepot pipinya menahan senyum akibat girangnya hati menemui jalan penyelesaian terhadap masalah besar itu.

Maka Tok Nik pun bergegas ke pekan tetapi bukanlah Pekan Pahang sebab Tok Nik tidak mahu terserempak dengan Tok Jib yang pasti akan menempelak kesilapan beliau memelihara ternakan berbahaya tersebut. Sudah jenuh Tok Jib menasihati Tok Nik agar meninggakan amalan berisiko tinggi begitu.

Sesampainya di pekan kecil itu Tok Nik segera menghala ke kedai seorang bekas ahli DAP yang diketahuinya menjual pelbagai jenis dedak dan makanan haiwan. Dipendekkan cerita maka dibelinya seguni gandum yang dijadikan makanan ayam.

Sebaik sahaja sampai di rumah maka dipanggilnya para belaannya bagi membantu beliau memberi makanan kepada ayam-itik beliau yang memang banyak. Maklumlah, pekerja ramai dan tidak perlu dibayar gaji.

Sambil memerhati sahabat-sahabatnya bekerja, maka bersuaralah Tok Nik:
"Nampaknya suka benar ayam-itik kita mentedarah gandum ini. Jika demikian molek benarlah jika kita hidangkan makanan ini setiap hari kepada mereka. Apa pendapat kalian semua?"

Maka sekalian sahabatnya bersetujulah sebulat suara atas cadangan tersebut sambil meneruskan kerja mereka dengan taat dan setia. Itulah keistimewaan makhluk-makhluk itu berbanding manusia. Mereka tak reti membantah.

"Cis..." tiba-tiba Tok Nik bersuara agak kuat menyebabkan semua belaannya termasuk ayam dan itik terngadah dan kemudian berpandangan sesama sendiri. "macamana nak bagi makan gandum sedangkan simpanan gandum kita cuma sedikit? Kalau nak beli setiap hari, bangkrup lah kita." Tok Nik menyambung.

"Apa yang susah Tok? kita tanam lah." Sahut Si Afrit dengan pantas, dan sepantas itu juga dia meraung sekuat hati seolah-olah dicubit sesuatu.

Sememangnya lah Si Afrit menjerit kesakitan kerana dicubit Hantu Raya sekuat hati. Manakan tidak, dengan terbitnya cadangan bodoh tersebut, sudah tentulah mereka semua yang akan mendapat tambahan kerja yang tidak bergaji.

"Bagus Afrit. Demo memang hebat dan cerdas. Pagi-pagi esok kita akan mulakan kerja menanam gandum." Tok Nik membuat keputusan berbentuk arahan sambil melangkah pulang ke rumah besarnya.

Pada malam itu ketika diyakini bahawa semua belaannya telah berambus bergelentayangan maka Tok Nik mengeluarkan beberapa cupak gandum dan dimasukkan ke dalam kuali. Tok Nik menggoreng bijirin tersebut sehingga garing dan dimasukkan ke dalam uncang.

Pagi-pagi esoknya, berjalanlah Tok Nik dibontoti makhluk-makhluk peliharaannya ke tengah hutan belantara. Tok Nik sudah memberi taklimat awal bahawa mereka akan membuka ladang baru untuk tanaman gandum di tengah-tengah hutan hujan topika (Tropical Rain forest) tersebut.

Kira-kira 8 jam berjalan maka Tok Nik mengisyaratkan untuk berhenti di suatu kawasan tinggi yang berbatu besar. Ala-ala air terjun dekat Cameron Highland.

Maka sepanjang-panjang malam tersebut bekerja keraslah sekalian makhluk itu membersihkan kawasan untuk diperbuat ladang gandum. Tidaklah mereka tahu bahawa belum pernah lagi orang menanam gandum di Malaysia ini. Apatah lagi menggunakan benih yang digoreng sehingga garing!

Menjelang subuh maka kerja-kerja memugar hutan pun selesai. Sebelum sempat bersarapan, Tok Nik sudah menggesa mereka membuat lubang-lubang kecil untuk disemai benih-benih gandum. Tugas tersebut selesai menjelang tengahari. Demikianlah produktif dan inovatifnya makhluk-makhluk tersebut yang bekerja tanpa perlu dipantau sepanjang masa.

Maka Tok Nik pun memanggil mereka untuk memberi taklimat sekali lagi.

"Wahai sahabat-sahabatku. Tahniah dan terima kasih atas komitmen yang demo berikan sehingga hasrat ambo membuka sebuah ladang gandum tercapai. Tugas kita seterusnya amatlah mudah. Kita hanya perlu menunggu tanaman ini tumbuh dan berbuah. Selepas itu bolehlah dituai untuk dibawa pulang." Tok Nik menghela nafas, sebelum menyambung:

"Justeru ambo ingin berkata dengan tegas di sini bahawa janganlah mana-mana antara kamu yang pulang ke rumah melainkan dengan membawa gandum yang banyak. Akan ambo, terpaksalah balik dahulu bagi menguruskan perkara-perkara lain di rumah."

"jangan lupa, siram jangan tak siram."

Dengan kata-kata tersebut maka segeralah Tok Nik mencari jalan pulang ke rumahnya. Tidak perlulah Demang ceritakan secara detail perihal Tok Nik yang rebah-rempah dan sesat-barat sebelum menemui kampungnya.
Namun amat berbaloi rasanya segala jerih apabila berjaya memperdayakan makhluk-makhluk peliharaan itu.

Hari berganti hari, minggu bertukar bulan dan, tiba-tiba sebelum bulan sempat bertemu tahun, pada suatu pagi yang bening Tok Nik dikejutkan dengan suara hiruk pikuk di luar rumah gadangnya. Apabila dijengah alangkah terperanjatnya Tok Nik melihat beratus-ratus guni gandum sudah tersusun di laman rumahnya. Tok Nik pengsan.

Walaupun hantu-hantu tersebut bersungguh-sungguh mendakwa bahawa itu adalah gandum hasil tanaman mereka namun guni gandum yang tertulis nama rakan DAPnya membuktikan bahawa makhluk-makhluk itu memang berbohong.

Namun Tok Nik tidak mampu berbuat apa-apa sebab beliau lah yang mula-mula berbohong.

foto:
Ghost jpg cuteamai.tblog.com

2 comments:

C L J said...

Best gak cerita ni kalau buat skrip drama untuk mana mana stesyen TV. 13 siri boleh dapat kot.

YANG GAMBI said...

Salam, satu cerita yang baik untuk direnungi.....

Tetapi ada yang tak perasan kot, Pok Nik dijaga oleh sekor 'hantu raya' yang sentiasa memberi bisikan-bisikan ketelinganya, sebab itu kadang-kadang Pok Nik bercakap macam bukan ulama........

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)